(w.606H) Al-Imam 'Izzuddin bin 'Abdissalam

Nama lengkap beliau ‘Izzuddin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdissalam bin Abil Qasim . Kadang-kadang nama beliau dipendekkan saja dengan ‘Izz bin ‘Abdissalam .Lahir di Damaskus tahun 577H. Beliau sedari mudanya belajar fiqih Syafi’i kepada Syeikh Ibnu ‘Asakir Syeikh Syaifuddin Al-Amidi dan lain-lain.

Beliau menjadi seorang ulama’ besar pada ketika itu, sehingga diberi gelar julukan “Sultan Ulama’”. Sampai tahun 638H. beliau tinggal di Damaskus menjadi guru mengarang kitab-kitab agama, bertabligh, berfatwa dan kadang-kadang menjadi Qadi.

Beliau adalah seorang ulama’ yang tidak segan-segan mengatakan yang hak kepada raja-raja yang berkuasa. Ia mengancam sekeraskerasnya sikap Sultan Damaskus Salih Ismail Al-Ayubi’ kerana Sultan main-mata dengan kaum Salib. Maka ia ditangkap dan dipenjarakan.

Kemudian beliau pindah ke Kairo dan diangkat oleh Penguasa di Kairo menjadi Qadhil Qudhat (Ketua seluruh Qadi). Tetapi kemudian ia berhenti dari jabatannya itu kerana berselisih faham dengan Waziruddalah Ya’isyuddin Hasan.

Beliau tinggal bertekun mengajar fiqih Syafi’i pada Madrasah Salihiyah, di samping mengarang dan berfatwa.
Orang banyak melihat bahawa darjat beliau sudah sampai ke darjat Imam Mujtahid, tetapi beliau mengatakan belum boleh terpikul soal itu kerana sangat beratnya. Beliau tetap menganut Mazhab Syafi’i
dan mempertahankannya sekuat-kuatnya.

Beliau adalah pejuang melawan serbuan Tartar ke Mesir di bawah komando Raja Qutuz, sehingga Umat Islam mendapat kemenangan pada perjuangan di Sungai Jalut melawan askar Tartar.
Di antara murid beliau yang kemudian menjadi ulama’ besar pula adalah Syeikh Taqiyuddin ibnu Daqiqul ‘Id , dan murid inilah yang memberikan gelar “Sultan Ulama’” kepada beliau.

Beliau banyak mengarang kitab-kitab besar dalam ilmu-ilmu fiqih, tafsir, Hadits, tauhid, tasawuf dan lain-lain. Ada 30 buah kitab agama karangan beliau.
Karangan-karangannya yang besar ialah:

  1. Qawa’idul Ahkam fi Masalihil Anaam yang dinamakan dengan “Al-Qawaidul Kubra”.
  2. Mazazul Qur’an.
  3. Fatawi Al-Masriyah.
  4. Al-Fawaid fi Musykilil Qur’an, iaitu sebuah kitab yang sangat berharga menerangkan soal-soal yang musykil dalam ayatayat Al-Qur’an. (Kitab ini ada tersimpan dalam Kutubkhazanah pengarang buku ini, cetakan Kuwait)
  5. Dan lain-lain.

Beliau wafat dan bermaqam di Kairo tahun 660H. dalam usia 83 tahun yang penuh dengan perjuangan, penuh dengan fatwa, mengarang, berpidato dan menjadi Qadi. Inilah bintang Ulama’ Syafi’i dalam abad ke-07 Hijrah.