Syeikh Abdus Samad Al-Falembani (Ulama Indonesia)

ALAM Melayu mempunyai ramai ulama yang menyebarkan agama Islam
sejak berabad-abad lamanya. Ulama-ulama silam ini menulis pelbagai kitab yang
menjadi rujukan masyarakat hingga ke hari ini. Antara ulama silam yang
menyumbangkan jasa kepada perkembangan Islam di Alam Melayu ialah Syeikh Abdus
Samad Al-Falembani . Syeikh Abdus Samad Al-Falembani mempunyai kaitan
dengan sejarah kerajaan negeri Kedah pada zaman Sultan Muhammad Jiwa Zain Al-
Adilin Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-19 (1710 - 1778) dan zaman Sultan Ahmad
Tajuddin Halim Shah II atau Marhum Melaka, Sultan Kedah ke-22 (1804 - 1845).
Ketika Sultan Abdullah Muazzam Shah, Sultan Kedah ke-17 (1698 - 1706) bersemayam
di Kota Bukit Pinang, putera sulung baginda, Tunku Muhammad Jiwa meminta
keizinan baginda untuk melanjutkan pelajaran agama di luar negeri. Tunku Muhammad
Jiwa secara sulit meninggalkan Kedah belayar ke Palembang dan di sana beliau berguru
dengan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani , ulama dan pendakwah yang berasal dari
Yaman. Selepas tamat pengajiannya, beliau dibawa belayar ke Tanah Jawa dan
seterusnya ke India. Setelah hampir enam tahun di perantauan, pada 1 Jamadil Akhir
1122 H (28 Julai 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa meninggalkan India belayar ke
Kedah dengan membawa gurunya, Syeikh Abdul Jalil . Kepulangan Tunku
Muhammad Jiwa amat dinanti-nantikan oleh para pembesar dan rakyat kerana takhta
Kerajaan Kedah telah lama kosong kerana kemangkatan ayahandanya, Sultan Abdullah
Muazzam Syah yang disusuli adindanya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah I. Pada
26 Syaaban 1122 H (20 Oktober 1710 M), Tunku Muhammad Jiwa secara rasminya
ditabalkan menjadi Sultan Kedah ke-19 di Istana Kota Bukit Pinang dan baginda
memerintah sehingga tahun 1798 M.Sultan Muhammad Jiwa telah melantik Syeikh
Abdul Jalil sebagai Mufti Kerajaan Kedah dan beliau berkhidmat sehingga tahun 1782
M. Di Kedah, Syeikh Abdul Jalil berkahwin dengan Wan Zainab, anak seorang
pembesar Kedah bergelar Datuk Maharaja Putera Dewa dan mempunyai dua orang anak
iaitu Wan Abdul Qadir (yang kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Kedah) dan Wan
Abdullah (yang memangku gelaran Seri Maharaja Putera Dewa).
Ketika Syeikh Abdul Jalil pulang ke Palembang menziarahi bekas anak-anak
muridnya, beliau berkahwin pula dengan Radin Ranti dan hasil perkahwinan tersebut,
mereka dikurniakan anak lelaki yang diberi nama Abdus Samad, yang lebih dikenali
sebagai Syeikh Abdus Samad Al-Falembani . Walau bagaimanapun, pelbagai versi
menyebut tentang nama bapa Syeikh Abdus Samad Al-Falembani iaitu Syeikh Abdul
Jalil al-Mahdani, Faqih Husein al-Falimbani, Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dan
Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani . Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah misalnya
menyebut bahawa Syeikh Abdus Shamad Al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin
Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani . Dalam Bulughul Maram,
karya Syeikh Muhammad Yasin Padang , beliau menyebut Syeikh Abdus Samad Al-
Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani dan Syeikh
Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani . Tahun kelahiran
Syeikh Abdus Samad Al-Falembani juga tidak dapat dipastikan dengan tepat.Kita
tinggalkan tentang perbezaan pendapat berhubung nama ayah dan ketidakpastian tahun
kelahiran Syeikh Abdus Samad Al-Falembani dan susuri pendidikan tokoh ulama ini.
Menurut Wan Muhammad Shaghir Abdullah , apabila Syeikh Abdul Jalil pulang
semula ke Kedah, beliau membawa bersama anaknya, Abdus Samad. Anak-anaknya
diajar ilmu-ilmu dasar keIslaman sebelum menghantar mereka memasuki salah sebuah
pondok yang terkenal di Pattani ketika itu. Walau bagaimanapun, tidak dapat dikenal
pasti siapakah guru-guru mereka dan pondok manakah yang mereka masuki, sama ada
Bendang Gucil, Kerisik, Kuala Bekah atau Semala. Selepas mendapat pendidikan di
Pattani, Syeikh Abdul Jalil menghantar anak-anak beliau ke Tanah Suci Makkah
untuk mendalami pengajian mereka. Abdus Samad terus menetap di sana, manakala
saudaranya, Syeikh Wan Abdul Qadir yang pulang lebih awal ke negeri Kedah telah
dilantik sebagai mufti pada zaman Sultan Abdullah Mukarram Syah, Sultan Kedah ke-
20 (1778 - 1797) dan Sultan Tajuddin Halim Syah II, Sultan Kedah ke-22 (1804 -
1845). Sementara itu, adinda Syeikh Wan Abdul Qadir , Wan Abdullah pula dilantik
sebagai salah seorang pembesar negeri Kedah. Selama 30 tahun Syeikh Abdus Samad
menetap di Makkah, antara rakan sepengajiannya ialah Syeikh Muhammad Arsyad
al-Banjari , penyusun kitab Sabilul Muhtadin dan Syeikh Daud bin Abdullah al-
Fathani yang terlibat dalam penulisan kitab-kitab Jawi atau Melayu. Selain Makkah,
Syeikh Abdus Samad juga menetap di Madinah selama 5 tahun. Selain Syeikh
Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani , kawankawan
lain Syeikh Abdus Samad ialah Syeikh Abdul Wahab Pangkajena (Sidenreng
Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad
Nafi s al-Banjari, dan Syeikh Muhammad Ali Aceh . Tentang gurunya pula, Syeikh
Abdus Samad, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh
, penyusun kitab Bidayatul Hidayah mengenai tauhid dalam bahasa Melayu.
Antara kitab karangan Syeikh Abdus Samad yang masih digunakan sampai sekarang
Menurut Syeikh Yasin Padang pula, Syeikh Abdus Samad menerima hampir
semua ilmunya daripada al-Mu`ammar `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar al-Falimbani
(Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin bin Ja`afar bin Muhammad bin
Badruddin al-Falimbani ). Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad Azhari
ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani, Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-
Falimbani adalah murid Syeikh Abdus Samad . Dalam hal ini, Ustaz Wan
Muhammad Shaghir Abdullah berpendapat bahawa sumber daripada Syeikh
Muhammad Azhari al-Falimbani lebih dapat dipegang kerana pertama, zaman Syeikh
Muhammad Azhari masih terlalu dekat dengan zaman Syeikh Abdus Samad ;
kedua, salasilah yang dibicarakan adalah melibatkan Syeikh Muhammad Azhari
sendiri selaku cucu murid dalam Tarekat Samaniyyah yang diamalkan oleh Syeikh
Abdus Samad ; dan ketiga, sama-sama berasal dari Palembang dan sewaktu Syeikh
Muhammad Azhari belajar di Mekah seakan-akan dalam lingkungan satu
kekeluargaan dengan kewarisan Syeikh Abdus Samad . Dinyatakan juga bahawa
Syeikh Abdus Samad dan Syeikh Muhammad `Aqib pernah berguru dengan Syeikh
Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi , Syeikhul Islam dan Imam Haramain pada zaman
itu dan Syeikh `Athaullah , dari Mesir.
Syeikh Abdus Samad juga pengikut sufi yang telah menerima Tarekat
Samaniyyah daripada gurunya Syeikh Muhammad bin Abdul Karim As-Saman al-
Madani (Syeikh Saman ). Tarekat ini diterima ketika beliau menetap di
Madinah.Sebenarnya Syeikh Abdus Samad menuntut ilmu dengan ramai ulama
seperti dalam karyanya Zahratul Murid, beliau menyebut beliau berguru dengan Syeikh
Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri . Syeikh Abdus Samad juga berguru
dengan Syeikh Abdul Ghani al-Hilali , As-Sufi Saiyid Ahmad bin Muhammad Syarif
Maqbul al-Ahdal (beliau belajar kitab Hadis Arbakin dan Riyadhus Salihin), Asy-
Syihab Ahmad bin Abdul Fattah al-Malawi (belajar kitab Umdatul Ahkam), dan
Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi (Zubaidi).
Dengan Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha bin Muhammad az-Zabidi , Syeikh
Abdus Samad dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari belajar kitab At-Taukid fi
Haqqillah karya Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahhab bin Sulaiman .
Dengan ramai guru yang beliau menuntut ilmu, tidak hairanlah Syeikh Abdus Samad
berjaya menjadi ulama ulung yang kitab-kitab karangannya sehingga kini masih dirujuk.
Zahratul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid adalah karya pertama Syeikh Abdus Samad
. Kitab ini ditulis pada 1178 H/1764 M. Kitab ini merupakan catatan beliau ketika
belajar ilmu tauhid dengan Syeikh Ahmad bin Abdul Munkim ad-Damanhuri di
Makkah. Selain itu, Syeikh Abdus Samad juga menulis kitab Hidayatus Salikin fi
Suluki Maslakil Muttaqin. Kitab ini selesai ditulis di Makkah pada hari Selasa, 5
Muharam 1192 H. Sebahagian besar kitab ini adalah terjemahan daripada Bidayatul
Hidayah, karangan Imam Ghazali . Kitab ini ditashihkan dan disebar secara meluas
oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani dan ia juga adalah kitab
Melayu/Jawi yang pertama sekali ditashih dan dicetak di Mesir. Syeikh Abdus Samad
juga menghasilkan kitab Siyarus Salikin ila Ibadati Rabbil Alamin atau judul lain
ialah Siyarus Salikin fi Thariqah as-Sadat as-Sufiyah. Kandungan kitab tersebut
sebahagian besarnya merupakan terjemahan Ihya’ Ulumid Din, karangan Imam Ghazali
. Kitab Siyarus Salikin ini dianggap sebuah kitab Melayu/Jawi yang bernilai tinggi,
bersifat ilmiah tasawuf yang cukup mantap. Kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus
Samad ini terdiri daripada empat jilid. Jilid pertama ditulis pada 1193 H/1779 M dan
siap pada awal tahun 1194 H/1780 M di Mekah. Jilid kedua pula mulai ditulis pada
1194 H/1780 M dan selesai pada hari Sabtu, 19 Ramadan 1195. H/1781 di Taif. Pada
tahun 1195 H/1781 M, jilid ketiga ditulis dan berjaya diselesaikan pada 19 Safar 1197
H/1783 M di Makkah. Walau bagaimanapun, untuk jilid keempat, Syeikh Abdus Samad
tidak menyebut tahun ia mulai menulisnya, tetapi beliau selesai menulisnya pada 20
Ramadan 1203 H/1788 di Taif. Kitab ini kini telah ditahqiqkan oleh Ustaz Ahmad
Fahmi Zamzam An-Nadwi dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu serta diterbitkan
dalam tulisan Rumi dan Jawi. Kitab-kitab lain karya Syeikh Abdus Samad ialah al-
`Urwatul Wutsqa WA Silsilatu Waliyil Atqa (terjemahan karya Syeikh Muhammad
Saman yang ditulis dalam bahasa Arab), Ratib Syeikh Abdus Samad al-Falimbani ,
Nashihatul Muslimina wa Tazkiratul Mukminina fi Fadhailil Jihadi wa Karamatil
Mujtahidina fi Sabilillah, Risalah Pada Menyatakan Sebab Yang Diharamkan Bagi
Nikah (1179 H/1765 M), Ar-Risalatu fi Kaifi yati Ratib Lailatil Jumkah, Mulhiqun fi
Bayanil Fawaidin Nafikah fi Jihadi fi Sabilillah, Zadul Muttaqin fi Tauhidi Rabbil
'Alamin, 'Ilmut Tasawuf, Mulkhishut Tuhbatil Mafdhah minar Rahmatil Mahdah
'Alaihis Shalatu wa Salam, Kitab Mikraj, dan Puisi Kemenangan Kedah. Kitab-kitab
karangan Syeikh Abdus Samad ini boleh dimanfaatkan oleh umat Islam hari ini
terutama sekali kitab seperti Siyarus Salikin yang telah ditahqiqkan oleh pihak-pihak
yang peka dengan ilmu yang terkandung di dalamnya.Yang menarik sekali tentang
riwayat hidup Syeikh Abdus Samad ialah beliau dipercayai melibatkan diri dalam
peperangan Kedah/Pattani melawan Siam yang membawa beliau mati syahid kerana
mempertahankan tanah air. Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat
berhubung tarikh wafat Syeikh Abdus Samad sama ada beliau wafat pada 1244
H/1828 M atau 1254 H/1838 M. Sesungguhnya, Alam Melayu amat bertuah kerana
mempunyai seorang ulama ulung seperti Syeikh Abdus Samad yang
memperjuangkan agama Islam sama ada dalam bidang penulisan ataupun berjihad
menentang golongan bukan Islam yang menjajah negeri.